Wednesday, March 3, 2010

Polis Malaysia dan Thailand tingkat kerjasama banteras jenayah siber

CHIANGMAI, 5 Ogos (Bernama) -- Polis Malaysia dan Thailand sedang berusaha meningkatkan usaha membanteras jenayah siber, ekoran peningkatan dalam kegiatan jenayah yang berkaitan dengan kemudahan internet itu yang membabitkan jutaan ringgit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kedua-dua negara akan berkongsi maklumat risikan dan meningkatkan keupayaan operasi bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung modus operandi kumpulan-kumpulan berkenaan dan mengenal pasti kumpulan yang terlibat. "Kita hidup di dalam dunia global di mana maklumat internet bebas diperolehi di seluruh dunia. Ini membawa kepada penipuan internet di mana rakyat sesebuah negara kini boleh menawarkan peluang perniagaan kepada penduduk negara asing dengan niat menipu," katanya.

Beliau berkata ramai yang tertipu dengan janji-janji kekayaan oleh penipu yang menggunakan kemudahan internet ini bagi tujuan menjayakan penipuannya, antaranya termasuk kegiatan sindiket penipuan 'black money', 'penipuan Nigeria', penipuan kad kredit dan sebagainya, yang didedahkan oleh polis, membabitkan rakyat Malaysia mahupun Afrika. Beliau berkata demikian pada persidangan media di penghujung Mesyuarat Kajian Semula peringkat Jabatan ke-19 Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Thailand berhubung Aktiviti Jenayah. Turut hadir ialah Ketua Polis Thailand Jeneral Patcharawat Wongsuwan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin.

Dua minggu lepas polis Thailand menahan 18 rakyat Nigeria yang terbabit dalam penipuan internet di Bangkok. "Kami memerlukan maklumat untuk mendidik orang ramai supaya mereka tidak terjebak dalam penipuan itu. Ramai yang tertpiu disebabkan oleh sifat tamak dan ingin menjadi kaya dengan cara mudah," katanya.

Musa berkata dengan kerjasama yang baik serta perkongsian pengkalan data, mereka yang terbabit dalam kegiatan penipuan itu akan dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan. Merujuk kepada perbincangan dua hari yang berakhir semalam itu, Musa berkata kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di samping merangka strategi bagi menangani jenayah merentasi sempadan. "Antara bidang yang diberikan keutamaan ialah keganasan, jenayah siber, curi kenderaan dan penyeludupan manusia," katanya dan menambah bahawa isu lanun akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat berikutnya di Sabah tahun depan. Musa juga berkata tahap kerjasama antara polis Asean akan ditingkatkan lagi apabila Sekretariat Tetap Aseanapol ditubuhkan di Kuala Lumpur nanti. -- BERNAMA

CyberSecurity bantu cegah jenayah siber

16 Ogos 2007 (Berita Harian)
(Oleh Haryani Ngah)


JENAYAH tidak hanya berlaku di alam nyata sebaliknya dalam perkembangan teknologi maklumat yang semakin pantas dan sentiasa berubah setiap masa ia dapat berlaku hanya dengan menaip di papan kekunci komputer.

Bagaimanapun ramai pengguna komputer tidak tahu bagaimana mendapat maklumat atau perlindungan sekiranya berlaku sesuatu mencurigakan seperti pencerobohan ke atas komputer, laman web atau emel.

Pertama kali diperkenalkan pada 1997 dan dikenali sebagai Malaysian Computer Emergency Response Team (MyCert) di bawah kendalian MIMOS Berhad (MIMOS) bertujuan mengawal selia pengguna internet di Malaysia.

Bagaimanapun, pada 24 Januari 1998 MyCERT diberi peranan yang lebih luas dan dijadikan sebagai National ICT Security and Emergency Response Centre (NISER) untuk mengawal ICT negara.

NISER dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 10 April 2001. NISER kemudian dikeluarkan dari MIMOS dan dijadikan entiti berasingan dan dikenali sebagai CyberSecurity Malaysia pada Mac
2007.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu akan menjadi pusat rujukan pakar keselamatan siber kepada mana-mana agensi kerajaan lain dan syarikat swasta, termasuk orang perseorangan bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan jenayah di alam siber.

CyberSecurity Malaysia beroperasi sebagai syarikat kerajaan bukan berlandaskan keuntungan dan berada di kawalselia MOSTI.

Agensi ini juga bukan badan penguatkuasa, sebaliknya agensi teknikal yang boleh membantu pengguna internet menangani ancaman siber serta memberi khidmat nasihat dan bertindak sebagai biro aduan awam bagi pengguna internet.

CyberSecurity Malaysia adalah agensi teknikal dan menjadi biro pengaduan kepada pengguna dalam menyelesaikan masalah keselamatan internet di Malaysia, katanya.

CyberSecurity Malaysia ialah pusat koordinasi setempat untuk keselamatan pengguna siber kebangsaan dan ditubuhkan dengan objektif untuk melindungi, membimbing, promosi di samping merangka strategi dalam menangani isu keselamatan siber di Malaysia.

Peranan CyberSecurity Malaysia membabitkan pencegahan jenayah di samping mempromosikan standard dan pengalaman terbaik keselamatan maklumat, membantu mangsa jenayah siber, juruperunding kepada Kerajaan dan mengurangkan pencerobohan ke atas sistem dan rangkaian teknologi maklumat di Malaysia.

Menerusi CyberSecurity Malaysia lima perkhidmatan diperkenalkan kepada orang ramai iaitu Cyber999 atau Tindakbalas Kecemasan Komputer, Forensik Siber, Jaminan Keselamatan Maklumat, Pengurusan Keselamatan Maklumat dan Latihan dan Pembudayaan.

Orang ramai yang berdepan dengan masalah keselamatan siber boleh mendapatkan khidmat daripada CyberSecurity yang beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang hari Isnin hingga Jumaat. CyberSecurity Malaysia juga membuka komunikasi kecemasan 24 jam melalui emel, sms dan telefon.

Khidmat percuma ketika kecemasan diberikan dan orang ramai boleh menghubungi CyberSecurity Malaysia di alamat Level 7, Sapura@Mines, 7 Jalan Tasik, The Mines Resort City, 43300 Seri Kembangan, Selangor atau hubungi talian 03-89926888, faks 03-03-89453250, emelkan ke info@cybersecurity.org.my atau lawati laman web www.cybersecurity.org.my