CHIANGMAI, 5 Ogos (Bernama) -- Polis Malaysia dan Thailand sedang berusaha meningkatkan usaha membanteras jenayah siber, ekoran peningkatan dalam kegiatan jenayah yang berkaitan dengan kemudahan internet itu yang membabitkan jutaan ringgit.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata kedua-dua negara akan berkongsi maklumat risikan dan meningkatkan keupayaan operasi bagi mendapatkan lebih banyak maklumat berhubung modus operandi kumpulan-kumpulan berkenaan dan mengenal pasti kumpulan yang terlibat. "Kita hidup di dalam dunia global di mana maklumat internet bebas diperolehi di seluruh dunia. Ini membawa kepada penipuan internet di mana rakyat sesebuah negara kini boleh menawarkan peluang perniagaan kepada penduduk negara asing dengan niat menipu," katanya.
Beliau berkata ramai yang tertipu dengan janji-janji kekayaan oleh penipu yang menggunakan kemudahan internet ini bagi tujuan menjayakan penipuannya, antaranya termasuk kegiatan sindiket penipuan 'black money', 'penipuan Nigeria', penipuan kad kredit dan sebagainya, yang didedahkan oleh polis, membabitkan rakyat Malaysia mahupun Afrika. Beliau berkata demikian pada persidangan media di penghujung Mesyuarat Kajian Semula peringkat Jabatan ke-19 Jawatankuasa Kerja Bersama Malaysia-Thailand berhubung Aktiviti Jenayah. Turut hadir ialah Ketua Polis Thailand Jeneral Patcharawat Wongsuwan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin.
Dua minggu lepas polis Thailand menahan 18 rakyat Nigeria yang terbabit dalam penipuan internet di Bangkok. "Kami memerlukan maklumat untuk mendidik orang ramai supaya mereka tidak terjebak dalam penipuan itu. Ramai yang tertpiu disebabkan oleh sifat tamak dan ingin menjadi kaya dengan cara mudah," katanya.
Musa berkata dengan kerjasama yang baik serta perkongsian pengkalan data, mereka yang terbabit dalam kegiatan penipuan itu akan dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan. Merujuk kepada perbincangan dua hari yang berakhir semalam itu, Musa berkata kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di samping merangka strategi bagi menangani jenayah merentasi sempadan. "Antara bidang yang diberikan keutamaan ialah keganasan, jenayah siber, curi kenderaan dan penyeludupan manusia," katanya dan menambah bahawa isu lanun akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat berikutnya di Sabah tahun depan. Musa juga berkata tahap kerjasama antara polis Asean akan ditingkatkan lagi apabila Sekretariat Tetap Aseanapol ditubuhkan di Kuala Lumpur nanti. -- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment