Friday, February 26, 2010

Diploma ICT utk golongan Cacat Penglihatan

Berita Harian 19 April 2007

KUALA LUMPUR: Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) akan memperkenalkan program diploma khas berkaitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada golongan cacat penglihatan dalam meluaskan pasaran kerja golongan itu.

Presiden MAB, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, berkata dengan pengenalan kursus itu, lebih banyak peluang kerja di pejabat dapat diisi golongan ini (cacat penglihatan) selepas mendapat kemahiran ICT.
“Jika sebelum ini skop pekerjaan golongan kurang upaya (OKU) ini hanya terhad kepada bidang telepemasaran, kemahiran menjawab telefon, urutan refleksologi dan membuat kraftangan.

“Ini tidak mencukupi kerana dengan perkembangan globalisasi dunia memaksa kita untuk memahirkan diri dengan teknologi dan dengan lahirnya graduan OKU dalam bidang ICT, ia akan mampu bersaing dengan orang normal,” katanya pada sidang media selepas menerima sumbangan RM100,000 daripada Giant Retail (M) Sdn Bhd (Giant)

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Bahagian Korporatnya, Zamri Maulan dan ia adalah hasil derma daripada pelanggan di 88 pasar Pasar Raya Giant seluruh negara sejak April hingga Disember tahun lalu.

Ismail berkata, keutamaan diberikan kepada bidang ICT kerana banyak syarikat enggan mengambil golongan cacat penglihatan sebagai pekerja kerana menganggap mereka tidak mampu menggunakan komputer.

“Kami jamin yang graduan yang bakal dikeluarkan itu nanti sama kualitinya seperti dengan orang biasa kerana kami menggunakan komputer dan perisian sesuai dengan golongan cacat penglihatan ini.

“Syarikat tidak harus ragu-ragu terhadap keupayaan mereka kerana sebelum program diploma ICT ini diperkenalkan sudah ada segelintir OKU berjaya di bidang lain seperti pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, MAB juga merancang memperkenalkan beberapa program diploma lain seperti fisioterapi mudah alih dan orientasi kepada golongan cacat penglihatan ini.

“Dengan diploma ini, ia bukan saja akan memberi kemahiran untuk menjaga dirinya sendiri tetapi juga menjaga golongan senasib jika mereka mengambil keputusan untuk bekerja di rumah kebajikan atau pusat OKU,” katanya.

No comments:

Post a Comment