KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU) Kimanis di Papar dekat sini dipilih sebagai pusat latihan OKU pertama di negara ini memiliki makmal komputer.
Pengarah Kanan Bahagian Pemberian Perkhidmatan Sejagat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari berkata pemilihan Kompleks OKU Kimanis oleh suruhanjaya itu adalah sebagai program perintis sebelum ianya dikembangkan ke pusat-pusat OKU lain.
"Program Teknologi Maklumat dan Komunikasi di Kompleks OKU Kimanis ini merupakan satu pendedahan kepada pelatih di pusat ini kepada ICT," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian pembukaan makmal berkenaan di kompleks tersebut oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun.
Makmal berkenaan yang diwujudkan hasil kerjasama SKMM dengan kerajaan negeri dan Celcom dilengkapi empat unit komputer dan kemudahan internet. Melalui tenaga pengajar terlatih, makmal berkenaan menyediakan kemudahan serta kemahiran penggunaan ICT kepada 60 pelatih di pusat itu.
Menurut Jailani keputusan untuk mengadakan makmal berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha dan tanggungjawab SKMM untuk memasyarakatkan ICT serta mengurangkan jurang ICT dalam kalangan masyarakat.
Azizah pula berkata usaha berkenaan merupakan satu lagi bukti bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian kepada Sabah bagi kebajikan penduduk negeri itu.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment