Oleh MOHAMAD ABDULLAH
MENGHADIRI sidang media "Seminar Kecapaian ICT 2009" di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang baru-baru, membuka kesedaran baru terhadap betapa 'butanya' kita selama ini.
Secara umumnya kita belum sedar terhadap keperluan Orang Kelainan Upaya (OKU ) dalam mengakses maklumat melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti mana yang dinikmati oleh orang biasa selama ini.
Seminar yang mengupas kemudahan ICT untuk OKU khususnya yang cacat penglihatan, menyedarkan betapa kita selama ini mengabaikan keperluan asas kumpulan ini.
"Kebanyakan laman web yang terdapat di negara ini sukar dicapai oleh OKU, apatah lagi dengan masalah ketiadaan perisian yang boleh menginterpretasinya dalam bahasa Melayu," dedah Moses Choo dari Majlis Kebangsaan Orang-orang Buta Malaysia yang juga Pengerusi Jawatankuasa penganjur seminar.
Katanya, perisian dalam bahasa Inggeris telah lama ada di pasaran, malangnya perisian bahasa Melayu belum ada dan nampaknya masih jauh daripada kecapaian kita, terutamanya kurangnya jurutera perisian melakukan usaha ke arah ini.
Ini menyebabkan sebutan ayat-ayat dalam bahasa Melayu dibunyikan mengikut cara sebutan bahasa Inggeris yang menimbulkan kesukaran kepada orang cacat penglihatan di negara ini.
Sementara itu, Profesor Madya Tiun Ling Ta, pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan pula mendedahkan bahawa sebahagian besar kemudahan fizikal untuk OKU disediakan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
"Pembinaan kemudahan dibuat untuk OKU, bukan bersama OKU, ini bermakna pandangan OKU hanya diperolehi setelah sesuatu kemudahan dibina yang kerap kali tidak memenuhi keperluan yang sewajarnya," kata Tiun Ling Ta.
Lebih menyedihkan ialah apabila tempat-tempat letak kereta untuk OKU misalnya digunakan oleh mereka yang bukan OKU tanpa rasa bersalah, manakala di sesetengah tempat laluan OKU terhalang apabila diletakkan kenderaan atau halangan lainnya tanpa mempedulikan kesukaran OKU, tambah Ling Ta.
Datuk Shamsiah Abdul Rahman dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula berpendapat bahawa kemudahan yang disediakan sepatutnya adalah untuk membolehkan OKU berdikari, bukannya terus bergantung kepada orang lain.
Hakikatnya tidak ramai antara kita yang sedar tentang hak untuk mencapai maklumat daripada kalangan OKU di negara ini, termasuk untuk memiliki kad ATM dan kad kredit. Walau pun kita mempunyai tenaga pakar dalam ICT yang ramai, namun kita belum lagi memenuhi keperluan kecapaian OKU, terutamanya orang buta terhadap teknologi maklumat masih belum mencukupi.
Seorang ahli jawatankuasa penganjur memberitahu, pengalaman menganjurkan seminar dari kalangan OKU ini menimbulkan kesedaran terhadap keperluan mereka yang selama ini jarang diberi perhatian, misalnya untuk memilih makanan dan menikmati jamuan, papan tanda ke tandas, kemudahan untuk mereka menyertai persidangan dan sebagainya.
"Kita yang celik inilah sebenarnya buta dalam memahami keperluan kumpulan itu selama ini," kata pensyarah universiti tersebut.
Tidak ramai yang sedar bahawa laman-laman web kerajaan juga sukar untuk dicapai oleh OKU.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Friday, February 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment